Monday 14 March 2016

Matlamat Hidup


 Assalamualaikum dan Selamat sejahtera

Ini merupakan pertama kali saya menulis blog. Langkah pertama yang saya ambil selepas sekian lama bermain-main di kepala ke arah menjadi insan yang lebih baik. Apakah matlamat yang anda ingin capai dalam hidup? Adakah matlamat anda cukup lengkap sampai anda boleh membayangkannya, bau, rasa, lihat, dengar dalam pemikiran anda? Adakah ianya hanya bermain-main difikiran anda tanpa ditulis di mana-mana? Adakah anda boleh melihat matlamat anda dengan mudah, sama ada di bilik tidur, di cermin bilik, di meja kerja anda?

Soalan di atas juga merupakan apa yang saya alami selepas saya mula bekerja hinggalah saya menghadiri kursus mentor saya, En Zulkifli Shafie tahun lepas. Saya dan juga suami gagal menulis matlamat hidup kami secara lengkap di mana-mana pun. Alangkah ruginya kami membazirkan hidup tanpa matlamat yang lengkap ditulis. Selepas dari kursus itu, kami mulakan langkah pertama menulis matlamat di dalam computer kami. Matlamat, atau ‘goal’ adalah benda pertama yang kita semua perlu lakukan untuk membantu kita semua menjadi insan lebih baik dunia dan akhirat. Dalam Islam juga menekankan betapa pentingnya kita sentiasa ingat tujuan penciptaan kite sebagai khalifah di muka bumi Allah yang maha luas ini.

Saya hanya menulis impian saya ketika di sekolah dan universiti, sebagai pendorong atau motivasi untuk saya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaaan. Saya melekatkannya di serata dinding di bilik tidur saya. Ini termasuk kata-kata semangat yang saya dapat dari buku seperti Zig Ziglar, Anthony Robbins dan macam-macam lagi. Ia sangat membantu saya pada ketika itu untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai keputusan cemerlang. Sayangnya ia tidak diteruskan setelah saya mula bekerja. Matlamat ini kita boleh bahagikan kepada 3 peringkat:
  1.  Matlamat jangka pendek – 1-3tahun
  2.  Matlamat jangka sederhana – 3-5 tahun
  3.  Matlamat jangka panjang -  5-10 tahun


Selain dari peringkat yang di atas, saya juga telah membahagikan matlamat itu kepada beberapa bahagian seperti
  1.  Matlamat kewangan
  2.  Matlamat spiritual
  3.  Matlamat keluarga
  4.  Matlamat bisnes
  5. Matlamat karier
  6. Matlamat pelaburan

Anda boleh tuliskan apa sahaja yang anda mahu capai dalam jangkamasa setahun ke 3 tahun seperti mengumpul simpanan  kecemasan sebanyak 3 bulan pendapatan berjumlah RM10k yang dicapai pada bulan Dec 2016 contohnya. Ia perlu menjadi sangat lengkap dan ‘detail’ ya hingga ke bulan dan tahunnya supaya anda kekal fokus untuk mencapai matlamat anda itu. Strategi itu juga sama penting seperti menetapkan ‘goal’ untuk membolehkan anda mencapainya pada masa ditetapkan.

Perkara yang saya juga tak pernah terfikir sehinggalah saya membaca blog En Zul, ialah tentang persediaan kita untuk menghadapi hidup selepas mati. Ia juga membuka mata saya untuk menetapkan apakah yang saya boleh bawa sebagai bekalan saya di akhirat kelak. Hadis Rasulullah s.a.w:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Hadis di atas telah membuatkan saya terus  berkobar-kobar untuk menjadi orang yang memberi manfaat kepada sebanyak mungkin manusia di luar sana sebagai sebagai bekalan saya di akhirat kelak. Salah satu saya menulis blog juga adalah untuk berkongsi ilmu menerusi pembacaan buku-buku seperti buku kewangan, tentang kanak-kanak dan keibubapaan, tentang pelaburan terutamanya pelaburan emas dan tentang penyusuan susu ibu dan kehamilan. Saya meletakkan matlamat untuk bersedekah ilmu milik Allah ini agar ia semua bermanfaat untuk anda semua. Ia sebagai bekalan juga untuk saya di akhirat kelak. Apa jua yang anda lakukan, buatlah ia dengan matlamat redha allah semoga allah sentiasa bersama anda di dalam semua perkara yang anda lakukan. Amin, insyaallah.

Diharap pembaca akan setia dan menyokong perjuangan saya untuk membantu anda diluar sana untuk berkongsi ilmu milik Allah yang tak sebanyak mana yang saya ada ini. Terima kasih atas kesudian anda melawat blog saya.

Intan Syafinaz (PG 59676)
1320 hrs, 15th Mar 2016


No comments:

Post a Comment