Sunday 3 April 2016

Matlamat Kewangan - Is money the root of all evil?

Saya menulis blog dengan tujuan untuk berkongsi ilmu serba sedikit yang saya dapat melalui pembacaan agar saya sendiri tidak lupa dengan apa yang telah dibaca. Kali ini saya akan berkongsi tentang kewangan berpandukan buku Zero Hutang tulisan En Zulkifli Shafie, sifu saya. Apakah yang bermain di kepala anda apabila bercakap tentang kewangan? Simpanan hari tua? Simpanan kecemasan? Pendapatan pasif? Segala-galanya adalah tepat untuk kita mulakan bicara tentang kewangan. Kita semua harus ada prinsip tentang kewangan yang akan membawa kita kepada kehidupan yang tenang shingga ke akhir zaman. Benarkah anda menganggap duit itu adalah punca kepada kejahatan? Jika ya, maka itulah yang akan terjadi pada anda apabila anda memikirkan tentang duit. Jadi mari kita lupakan dan buang terus dari minda kita bahawa duit itu punca kejahatan. Tukar pemikiran anda kepada kaya itu mulia, bak kata pepatah Inggeris ‘Everything needs money, but money is not everything’. Bagaimana itu berlaku?
Menurut Zulkifli Shafie, kita kena sentiasa pegang dalam hati dan minda kita bahawa kaya itu mulia. Apabila kita ada kewangan yang kukuh, kita dapat membantu orang lain dengan berzakat, bersedekah, membantu orang yang susah dengan menyampaikan hajat mereka. Apabila kita mempunyai kewangan yang sihat, kita mampu memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak kita, membelikan mereka buku-buku yang berfaedah bagi mereka menimba ilmu juga pelbagai jenis permainan berilmiah  untuk meningkatkan daya pemikiran. Jadi, mulai saat ini, marilah sama-sama kita berazam untuk menjadi orang kaya berjaya dan mulia. Insyaallah melalui apa yang kita fikirkan, Allah akan membantu kita mencapai cita-cita kita menjadi kaya berjaya mulia.
Antara perkara seperti yang dinyatakan dalam buku Zero Hutang seperti berikut:

  1.  Mengurus simpanan
  2.  Motivasi kewangan
  3.  Pengurusan Hutang


Saya akan berkongsi secara ringkas tentang perkara di atas. Jika anda ingin membaca dengan lengkap, anda boleh dapatkan buku tersebut di mohdzulkifli.com

1.       Mengurus simpanan
Bagaimana anda mengurus simpanan setiap bulan? Adakah anda menunggu duit lebihan setaip bulan untuk menyimpan? Jika ya, hentikan tindakan anda dan mulakan dengan berikan hadiah pada diri sendiri dengan menyimpan mulakan dengan 10% daripada pendapatan dan lakukan secara konsisten selama 6 bulan. Apa yang penting, seperti saya nyatakan dalam artikel terdahulu adalah letakkan matlamat dalam apa jua hal dalam hidup anda. Di sini, anda boleh mulakan dengan menyimpan matlamat untuk menyimpan 3 bulan pendapatan sebagai simpanan kecemasan anda yang tidak boleh diusik melainkan kecemasan sahaja. Duit akan sentiasa tidak mencukupi jika kita tidak berdisiplin. Jadi kunci utama adalah disiplin dan sabar untuk hidup di bawah kemampuan demi kesenangan di kemudian hari.  Walaupun kita akan merasa kering dek kita menyimpan, tapi kita kering berduit di saat kecemasan. Itu lebih penting. Jadi perkara pertama anda perlu lakukan, letakkan matlamat 3 bulan simpanan kecemasan perlu anda capai dalam jangkamasa tertentu. Ini akan membuatkan anda lebih teruja untuk menyimpan.

Menurut Zero Hutang, ade 7 prinsip penting dalam menyimpan wang. Antaranya potong 10% untuk menjadi simpanan yang dilupakan, dan kita mungkin boleh menggunakannya pada masa depan untuk pelaburan atau bisnes. Dana kecemasan sekurang-kurangnya 3 bulan pendapatan perlu menjadi matlamat awal kita untuk bermula ke arah bebas hutang jahat.
Selain itu, saya juga menggalakkan anda menyimpan emas sebagai medium untuk dilupakan kerana bila anda telah bermula meyimpan emas, anda akan ingin membeli lagi dan lagi dan lagi. Ia seperti magnet kekayaan, yang dengan membelinya, kita tidak akan pernah rugi kerana ia berharga sepanjang zaman sejak beribu tahun dahulu. Malah emas adalah kalis inflasi!

2.       Motivasi kewangan
Apa yang memotivasikan anda untuk menyimpan? Apa jua yang memotivasikan anda, ia perlu mendatangkan kebaikan kepada anda dan juga orang tersayang pada masa akan datang. Hakikatnya apabila telah berkahwin, lebih banyak perbelanjaan  akan diperlukan untuk memastikan kelangsungan hidup bersama isteri dan anak-anak. Bak kata Zulkifli seperti dalam bukunya, duit bukan penentu bahagia tetapi duit sangat penting untuk sempurnakan tanggungjawab kita. Rumah dan kenderaan yang selesa, pendidikan yang terbaik, makanan yang berkhasiat dan macam-macam lagi.

Selepas kita menyimpan duit kertas di dalam bank untuk kecemasan, kita juga boleh juga menukarkan simpanan dalam bentuk emas. Caranya, anda kirakan kos pada hari ini uuntuk menunaikan haji, contohnya rm10k, bahagikan secara purata harga emas kini contohnya rm 175, anda akan dapat 57.14g emas. Jadi matlamat tabung untuk menunaikan haji anda adalah 57 atau kita genapkan ke 58g. Selain dari tabung menunaikan haji, kita boleh juga menabung untuk

      • Pendidikan anak-anak
      • Tabung membeli rumah
      •  Tabung kereta


3.       Pengurusan Hutang
Hutang kepada bank, saudara mara, kawan-kawan semuanya harus dibayar. Jadi apabila kite meminjam, mesti diniatkan di Dalam hati untuk membayarnya Dalam apa jua keadaan sekali pun. Buku Zero Hutang ada menceritakan tentang kad hutang a.k.a kad kredit dan bagaimana ia boleh menjadi racun dalam kehidupan kita. Kad kredit ibarat kita membelanjakan duit yang belum ada di tangan. Jika anda tidak boleh mendisiplinkan diri untuk menyimpan dahulu sebelum berbelanja, maka elakkan dari menggunakan kad kredit. Perbelanjaan yang menggunkan kad kredit, jika tidak dibayar tepat pada waktunya akan menyebabkan anda membayar faedah sehingga 17% setahun. Ini adalah contoh hutang mudarat.

Bagaimana pula hutang berkat? Hutang berkat atau hutang baik ini, jika dibuat dan diuruskan dengan teratur, dispilin, cara yang betul akan dapat menambah nilai hidup dan harta kita. Contohnya seperti hutang hartanah, yang nampak seperti membebankan. Tetapi nilai hartanah tersebut semakin meningkat saban tahun, dan akhirnya dapat meningkatkan ‘networth’ kita pada masa hadapan.

Jadi, pertama sekali kita perlu merangka strategi bagi menyelesaikan hutang jahat satu persatu seperti hutang PTPTN, hutang personal loan, hutang kereta dahulu.  Teknik-tekniknya akan saya kongsikan pada artikel akan datang.

Diharap perkongsian ini dapat membantu anda serba sedikit memahami tentang kewangan dan membetulkan persepsi kita terhadap duit. Kaya itu mulia. Amin insyaallah.


Intan 
PG 59676

Credit: Zero Hutang @ http://www.mohdzulkifli.com/

No comments:

Post a Comment