Tuesday 26 April 2016

Putaran Pengurusan Kewangan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera

Kali ini saya akan menulis tentang putaran pengurusan kewangan. Saya bukanlah pakar dalam pengurusan kewangan, tapi niat saya adalah untuk berkongsi ilmu dengan pembaca semua tentang bahan rujukan saya gunakan dalam membaiki kehidupan ke arah yang lebih baik. Saya ingin kongsikan buku yang ditulis oleh Alwi Adam bertajuk DIY 360 darjah Mengurus Wang. Anda boleh dapatkan buku beliau secara online di http://ezaz.my/

Perkara pertama yang perlu dilakukan terhadap kewangan kita adalah analisa penyata kewangan kita sekarang. Senaraikan pendapatan aktif dan pasif, semua perbelanjaan wajib dan tak wajib. Semak aliran tunai kita dengan menolak pendapatan dengan perbelanjaan. Jika hasilnya adalah positif, tahniah anda berada di landasan yang betul. Disiplin yang tinggi dan konsisten sangat penting untuk mencapai kebebasan kewangan kita, ini termasuklah simpan dahulu duit gaji yang diterima, barulah berbelanja apa yang tinggal. Bukan sebaliknya, kerana simpanan anda itulah hadiah untuk diri dan keluarga anda. Jika aliran tunai anda adalah negatif, semak semula perbelanjaan anda sama ada, ansuran bulanan kereta anda terlalu tinggi, anda hanya ada 1 punca pendapatan dan sebagainya. 

Perkara kedua yang ditekankan adalah matlamat kewangan anda. Apa yang ingin anda capai dalam masa beberapa tahun. Contohnya seperti ingin menyediakan 6 bulan gaji sebagai simpanan kecemasan anda dalam masa setahun, memiliki rumah 2 rumah sewa yang beraliran tunai positif sebanyak RM1000 dan bermacam-macam lagi. Tulis matlamat anda, tampalkan di sekeliling dinding rumah, tandas supaya ia sudah menjadi sebahagian daripada minda separuh sedar anda, mengikut 'law of attraction' yang telah dinyatakan dalam entri sebelum ini. Menurut Alwi Adam dalam bukunya, 'Konsep wang adalah kita perlu memberitahu duit kita ke mana ia harus pergi, bukan berfikir-fikir ke mana ia pergi. 

Ketiga, perancangan belanjawan termasuk dalam salah satu proses pengurusan kewangan. Dalam bab ini, ia menceritakan tentang pengurusan risiko dan takaful. Hidup kita penuh dengan risiko yang harus dihadapi, seperti risiko mendapat penyakit dan bencana alam. Risiko terbahagi kepada 2, risiko tulen dan spekulatif. Risiko tulen seperti rumah kita roboh kerana bencana alam di mana dari segi kewangan ia tidak memberi kelebihan, malah boleh jadi mencacatkan pelan kewangan anda. 
Risiko spekulatif pula boleh memberi keuntungan atau kerugian kepada kita. Ini contohnya seperti anda melabur dalam pasaran saham yang ada risiko untung ruginya. Pengiraan risiko adalah penting untuk membolehkan anda mendapat keuntungan daripanya sama ada jangkamasa pendek atau panjang. Setelah risiko dikenalpasti, ia harus diuruskan sebaiknya. Ini bekenaan risiko tulen seperti penyakit yang kemungkinan boleh dihadapi. Jadi kita boleh menguruskan risiko tersebut dengan memindahkannya kepada syarikat insuran dan takaful. 

Kini, terdapat pelbagai produk takaful dipasaran yang boleh dipilih bersesuaian dengan keadaan kewangan dan risiko yang dipindahkan. Kita perlu memastikan ia adalah takaful yang dihalalkan dalam islam, dan menilai produk yang ditawarkan. Terdapat pelbagai kelebihan seperti, pelaburan, simpanan, haji dan umrah serta bermacam-macam lagi. Seharusnya kita perlu mengambil polisi asas sahaja iaitu kematian, kecacatan kekal dan penyakit kritikal. Jika kita ingin membuat simpanan atau pelaburan, kita boleh terus menyimpan di Tabung Haji, ASB dan lain-lain institusi yang patuh syariah dan memberi pulangan tinggi. 

Terdapat banyak lagi topik yang penting dikupas dalam buku DIY 360 darjah Mengurus Wang oleh Alwi Adam. Ia buku yang sangat saya cadangkan kepada anda di luar sana untuk menambah baik keadaan kewangan anda. Semoga artikel ini dapat membantu anda mencari buku yang berkualiti sebagai bahan bacaan dalam memperbaiki hidup kita hari ini ke tahap yang lebih baik. 




Sekian, wassalam

Intan Syafinaz Zubir
Public Gold Authorize Dealer PG 59676
0139307110


No comments:

Post a Comment